Thursday, 6 November 2014

Manusia yang pelupa atau penyakit; Melayu mudah lupa.

Kisah lama, siapa lagi mahu dengar. Apatah lagi kalau kisah sejarah dikisarkan. Apa yang mahu didengar umpatan semata-mata kerana mahu menempah daging saudaranya sendiri, akhirat kelak. Mungkin sahaja kita ini sama tetapi bersama-samalah berpesan ke arah kebaikan kerana manusia ini sering leka, seringkali pula alpa. Mungkin inilah manusia dinamakan MANUSIA; cepat benar lupanya. Mungkin juga, kata-kata Tun Mahathir  telah lama makbul kerana, majoriti masyarakat di Malaysia ini mudah lupa. ‘Melayu mudah lupa’, ah tanda soal atau tanda seru patut di letakkan di belakang ayat itu? Lupakan sebentar isu itu. Lupa lagi!

            Secara niatnya, bukan kisah itu mahu saya sampaikan. Apatah lagi melalut hingga ke nama tokoh itu disebut. Dalam redup begini, teringat saya akan insan yang banyak berjasa pada keluarga saya. Saya hanya panggilnya ‘Tok’. Wanita tua ini masih gagah ke mana-mana. Ke masjid, mendengar ceramah agama. Seluruh kampung mengenali wanita ini. Orang panggilnya Mak Aji. Masakan tidak, dari zaman orang naik haji menggunakan kapal dia sudah pergi ke Mekah bersama suaminya. Campur tolak haji dan umrah, sudah lebih lima kali dia ke sana.
            Puas berehat di rumah gemulah nenek, bosan menjelira. Ke rumah Tok saja tujuan setelah melawat kubur nenek. Lihat pokok cikunya sudah berbuah, pasti saya orang pertama yang gembira dan dialah orang pertama yang ingat kepada saya. Barangkali.
            “Ambil ciku. Makan. Tok dah simpan untuk Along.”
            Pucuk dicita, ulam mendatang. Sepupu saya hanya melihat. Dia tidak gemar buah-buah sebegini.
        Petang-petang begini, datang pula tanpa ibu dan bapa, pastinya saya kewalahan. Mahu bicara apa dengan orang tua-tua. Hendak mengundur diri, segan pula. Baharu datang, makan-makan dan tidak lama sudah mahu beredar. Sengaja saya buka cerita, biar masa terisi.
            “Tok sempat zaman penjajah Jepun dahulu?” soalan tidak masuk akal. Pastinya sempat. Umurnya pun sudah melebihi tarikh kemerdekaan negara.
            “Sempat. Orang Jepun mahu bunuh orang putih. Masa itu, Tok sudah pun berkahwin dengan arwah Tokki Husin. Sudah ada anak dengan suami pertama.”
            Ditanya soalan itu, berjejeran cerita tentang kisahnya dahulu. Di mana tempat tinggal suaminya dahulu, asal dari mana, si polan ini anak kepada siapa dan siapa. Saya hanya mengangguk, buat-buat mengerti dan kenal. Itulah gaya saya bila bercakap dengan orang tua; angguk dan senyum. Mahu menyampuk, tidak tahu bagaimana.
            “Tok makan apa zaman itu?”
            “Makan ubi kayu. Ubi pula ambil di atas bukit. Jauh sana…..”
“Sedap?”
“Zaman itu susah. Ada makanan sedikit pun, syukur. Yang ada itulah sedap. Pakai baju pula bertampal-tampal. Koyak sana, jahit sana. Koyak sini, tampal sini. Kalau ada yang pakai kain macam tok pakai ini, sudah dikira kaya raya orang itu.”
            Saya melihat kain yang disarungnya. Kain itu sudah agak lusuh warnanya. Kain lama.  Bagaimana lukisan sebenar kisah lama ya. Siapa yang tahu, tiada siapa-siapa.
            “Jepun jahat tak?” lagak kanak-kanak kecil bersoal.
            “Tak ganggu dia, dia tak ganggulah kita. Cuma dia mahu anak gadis. Jadi, jangan pergilah dekat-dekat pada mereka.” Selamba sahaja dia bercerita.
            “Tok dahulu, pergi atas bukit sana dengan Tokki. Pergi mengintai orang Jepun bermain.” Kami sama-sama tergelak. Saya membayangkan, bagaimana pasangan muda ini pergi bersama-sama ke sana. Pastinya jiwa mereka pun seperti anak mudi kini. Masih suka hiburan, main-main tetapi yang bagusnya, sudah jadi suami-isteri.
            “Jepun dah tiada, tetapi ramai orang masih mahu  pakai ‘topi sudu’. Topi macam orang Jepun pakai.”

            Saya mengangguk faham. Faham benar bukan faham main-main. Sepupu saya tertanya-tanya. Topi sudu? Ini kali pertama dia mendengar.
            “Cap lah.” Saya memberitahunya. Bentuk cap yang seakan-akan sudu, membuatkan Tok memanggilnya topi sudu. Barangkali, orang zaman dahulu, panggil cap sebagai topi sudu. Siapa tahu? Yang memanggilnya sahaja tahu kisahnya.
            “Yalah, topi cap.” Tok menambah. “Orang sekarang mahu ikut penjajah. Kopiah, serban nabi pakai tak mahu diikutnya. Sunnah nabi ditinggalkan.”
            Kami terdiam. Aku berfikir. Mungkin benar kata-kata sejarawan, ‘orang yang melupakan sejarah, terdorong mahu ulanginya kembali.’ Dan kita bangsa Melayu, sudah lupa akan semua kepayahan dahulu. Orang yang merasa, lain rasanya dengan hanya yang merasa dengan telinga bukan hati seperti mereka. Kebencian mereka bukan sekadar memboikot jasad mereka, malah memboikot sama budaya mereka.
            Tetapi sebesar itukah pesimisnya terhadap bangsa penjajah. Hinggakan kepada ‘Cap’ atau ‘Topi sudu’ jadi isunya. Soalan ini masih berlegar di fikiran sepupu saya, mungkin.
            Saya tinggalkan tok sendirian selepas itu. Tidak mahu lama-lama menggangu masanya. Tambahan dia berpuasa sunat. Bimbang saya menyeksanya dengan berceloteh panjang.


            Saya biarkan bicara itu terbuai bersama ombak yang menghempas pasir pantai. Beredar dari rumahnya, terus saya ke pantai. Mahu lupakan segala rempah rasa dan perasaan yang berkurung di hati. Ah melupakan lagi!

No comments:

Post a Comment