Monday, 15 December 2014

Akulah Sang Ombak

Balasan terbuka buat teman bernama Ariz Ahmad.
http://rizlillah.blogspot.com/2014/12/cacatan-diatas-habuk.html


Segala puji-pujian layaknya bagi Allah, Tuhan yang tiada lainnya, hanya Dia dan pada apa pun, jualah Dia yang Esa. Baginya segala yang gemilang dan hambanya yang terbilang pula dikalangan anbiya’ al mursalin. Dan pada ratusan utusan serta pilihan yang mulia, diangkatNya tinggi penghulu kita, Nabi Muhammad s.w.t. Maka pada mukaddimahku, ayuhlah kita bersyahadah saksi sekali lagi dan berselawat pada Rasul al Mustafa.

Budi bicaramu di atas catatan berhabuk telah siapku perhalusi dan budi biacaramu banyak benarnya. Kendati ia berbaur harum bunga dan keras besi, tapi kepalaku merewang; aku membayangkan diriku berada dalam abad dahulu kala, yang menerima sepucuk surat dari negara seberang. Suratnya bukanlah sebarang surat; mudah-mudah sahaja dilayang datang, dironyok buang. Surat itu diarak-arak dan dipayung kuning dan ungu. Maka sembarangan orang tiadalah layak mambaca, hanyalah khatib sahaja tugasnya untuk mempersembahkan segala isinya. Barangkali, raja tika itu tiadalah suka melihat sendiri nilai sebuah penulisan dan gambaran hakikat mahupun majazi yang ada padanya ataupun raja tiadalah tugasnya untuk membaca apa-apa dengan mata kepalanya sendiri. Ampun, bukan patik mahu menderhaka, cuma tertanya-tanya.  

Hakikatnya, aku bukanlah raja dan tidak mahu sekali aku menjadinya. 

I’lam ketahuilah olehmu, adapun lautan itu bergeloranya bukanlah sepanjang sore dan malam. Kalau pasangnya pagi, mungkin surutnya petang. Barangkali telahan aku salah kerna tiadalah aku mewarisi ilmu lautan dari bapa-bapa kepada orang tuaku. Cuma aku senang berpaksikan pada bait-bait peribahasa mahupun syair-syair Melayu yang tulus berceritakan tentang alam.  Maka, pada geloranya yang tidak menentu itulah aku sandarkan perihal diriku. 

Ayuhlah teman, kita menelusuri ombak.


Syahdan si nenek moyang kita dahulu, tiadalah mereka mempelajari ilmu alam di bangku kelas. Pintarnya mereka menggunakan indera, mengadunkan hasilnya pada setiap langkah. Dilihatnya angin yang ditiup kuat, maka tiadalah mereka jaguh untuk mencabar lautan. Kalaulah aku sandarkan diriku pada kekuatan ombak, percayalah, deru angin yang meninggikan gelombang itu sudah tiada – mungkin ada, tetapi hanya perlahan-lahan menujah buih-buih lautan sahaja. 

Maka Laksama Rizlillah (oh aku masih berangan-berangan), naiklah ke gunung yang pernah tuan hamba daki dahulu. Barangkali, sisa-sisa kenangan dan (aku harapkan) semangat lampau masih ada di sana. Akan jalan itupun terlalu sukar untukku kembali, maka pergilah mendaki bersendirian. Cuma, kalau-kalau ada pendeta angin di sana, mohonkan padanya tiupkan kembali angin kencang untuk ombak bergelora. 

Sana situ menimang cahaya,
Tapi sini ia terpadam;
Kalaulah aku tersilap bicara,
Janganlah ia dibawa dendam. 

No comments:

Post a Comment