Tuesday, 30 December 2014

Teruskan Melangkah Wahai Khalifatul Ard

SEDIH dan hiba apabila melihat deruan air mata dan kolam dalam yang bertakung dalam hati mangsa-mangsa banjir pada tahun. ini. Cukuplah dengan melihat remuk gelisah sahabat-sahabat di kampus yang tidak mampu fokus untuk peperiksaan kerana menahan rasa, saya turut merasakan cebisannya. 

"Aku dah tak boleh study. Fikiran aku dah kat rumah,"
"Erm, kita makan sedap-sedap, orang kat kampung makan apa lah hari ini..."
"Tertekannya! Tiada siapa hulur bantuan kat rumah aku."

Dan luahan rasa hinggalah kepada kutukan yang bernada geram dan marah turut dihamburkan kerana seakan-akan muak dengan permainan sesetengah manusiawi yang hilang rasanya. Dari pemimpin tertinggi hinggalah pada orang yang tiada berjawatan apa-apa, semuanya dikritik kerana tidak memenuhi tanggapan dan jangkaan diri masing-masing. Yang berkerja, teruskan menyumbang- yang mengeluh, mengadu domba dan bertelagah, ingatlah dan sabar kerana satu hari nanti semua akan dihitung tentang baik dan buruk mereka.

Saya tidak menafikan memang ada sebahagian yang memang sengaja memetik api pada kayu kering, dan sumbangan yang lain pada menimbunkan kayu kering hingga menjadi unggun api yang besar itu seharusnya tidak patut berlaku. Dalam keadaaan haru biru Malaysia ditenggelami air, masih ramai yang mahu membanjirkan Negara ini dengan spekulasi dan hentaman yang langsung tidak menumbuhkan kesejateraan. 

Di manakah silap kita?

Dalam Kesusahan ada Kesenangan

Dalam minggu peperiksaan ini, saya cukup kagum dengan barisan mahasiswa dan mahasiswi yang turun padang untuk menyumbang sedikit sebanyak kepada saudara yang ditimpa ujian. Tenaga mereka tidak pernah lokek untuk dikongsi malah ramai yang menawarkan diri menjadi sukarelawan. Syabas teman-teman!

Dan dari gedung Facebook atau apa sahaja media massa yang ada, lambakan poster sebagai wasilah untuk menyampaikan berita, menarik sumbangan wang dan harta kepada saudara-saudara yang kesusahan, memenuhi ruangan. Gambar-gambar pemberian dan perkongsian orang ramai yang sangat banyak membuktikan rakyat Malaysia masih pemurah dan dermawan. Moga Allah terima nilaian kecil kita itu dengan ganjaran di akhirat kelak. Amin Ya Rabb.



Barangkali, desas-desus mengatakan orang mengambil kesenangan dari barang derma atas kesusahan orang lain pun ada benarnya. Hanya tuhan yang mengetahui. 


Bala dan Ujian

Bah yang melanda bumi Kelantan dengan teruk pada tahun ini telah mendapat perhatian umum masyarakat setempat mahupun dari luar negara. Namun apa yang lebih uniknya, gara-gara banjir yang dasyat menimpa ranah ini, ramai dari kita telah dikurniakan lesen untuk mengiktiraf bahawa kejadian ini adalah bala kepada rakyat Kelantan. Dan yang lebih besar lesennya, akan menyifatkan bala ini kerana kerajaan Kelantan mahu memasakkan hukum hudud di negeri itu. Subhanallah, maha suci Allah dari segala apa jua pun- moga kita tidak tergolong dari orang yang menolak hukum dan ketentuan-Nya.

Cukuplah dengan mengatakan dengan apa jua yang berlaku sebagai ujian, peringatan kepada kita, manusia yang mudah alpa. Allah telah berfirman banyak dalam kitab sucinya tentang ujian-ujian yang akan diterima adalah sebagai tanda bahawa kita hambaNya dan memerlukan zatNya yang agung dalam meneruskan kelangsungan hidup. Dan ujian itu juga adalah sebagai ukur aras darjat keimanan seseorang dalam menetapkan dirinya pada iman, sabar dan takwa.


Ujian ini bukanlah hanya untuk yang menerima musibah, bahkan untuk yang memandang bagi sama-sama merasakan cubitan di paha kanan. Sakitnya mereka mungkin juga disebabkan dosa kita. Kalau benar ini adalah bala dari Allah, maka tidaklah sememangnya bala itu diturunkan pada si pelaku dosa tetapi adakalanya kepada yang beriman agar mereka lebih bersungguh-sungguh menasihati kita supaya meninggalkan kesongsangan hidup. Bala itu tidak mengenal sesiapa untuk dihukum, tetapi akan menyapu semua yang ada. Kerana kita nila yang setitik, rosak susu kehidupan yang sebelanga. Maka jauhkanlah diri menyumbang kepada fitnah dan pertelingkahan kerana barangkali kita adalah sebenarnya punca kepada bala. 

Belasungkawa

Kisah tsunami kecil yang melawat sebahagian bumi Malaysia, Indonesia, Thailand ini mungkin dianggap sebagai peristiwa besar yang menutup tirai 2014. Namun, kegemparan pesawat Air Asia yang telah hilang dan akhirnya disahkan terdampar telah merentap jiwa manusiawi kita sekali lagi. Sungguh, kekuasaan Allah itu meliputi hari sebelum, semasa dan selepas yang manusia sama sekali terbatas untuk menguasainya. Takziah buat mereka yang menerima ujian. Dan Al Fatihah mengiringi mangsa nahas MAS MH17 dan AA QZ8501. Buat MH370, dunia masih menantimu pulang.


Penutup Tabir

Saya mahu menatap kembali pada bingkai-bingkai foto kenangan tahun 2014 yang bakal disimpan sebagai kenang-kenangan di dinding tahunan. Dan mungkin ada yang mentamsilkan bingkai-bingkai tersebut sebagai diari yang akan ditutup dan dibuka yang baru. Apa sahaja yang dianggapkan, tahun 2015 bakal menyusul esok hari.


Kisah-kisah kita akan berterusan, menerima nikmat dan ujian. Maka yang sepatutnya kita sediakan adalah ketahan diri dan kematangan akal untuk mengendalikan, bukan melatah dan berputus juang. Masing-masing dari kita punyai hati, tetapi tidak ramai yang tahu fungsi sang hati. Sama-samalah koreksi diri dan melangkah ke arah kebaikan. Fastabiqul khairaat (bergegaslah melakukan kebaikan) kerana tahun yang bertambah adalah tanda dekatnya kita pada panggilan pusara. 

Wallahu'alam. 

No comments:

Post a Comment