PENGENALAN
Kesatuan antara dunia fizikal dan roh adalah permulaan cerita. Mereka percaya bahawa dunia ini adalah satu. Si hidup dan si mati berjalan seiringan dalam dunia yang sama. Bahkan manusia itu sendiri adalah percatuman antara makhluk fizikal dan makhluk roh. Meskipun berlainan entiti, hidup mereka aman sentosa. Namun pergaduhan besar telah berlaku hingga mengakibatkan dunia terpisah antara langit dan bumi. Kesemua makhluk roh yang lebih ringan terapung-apung di langit dan yang memiliki fizikal pejal seperti manusia jatuh dan bertapak di bumi. Semenjak itu, kehidupan bumi dan langit terpisah.
Kelas senyap, tekun mendengar butir bicara professor. Rasa sejuk dari pendingin hawa tidak berjaya menenggelamkan mata larut dalam pelayaran tidak berdinding. Saya berharap syaitan menangis kerana gagal memesongkan minat saya belajar pada hari itu!
Kendatipun dunia telah bepisah, dalam jiwa masyarakat penganut Agama Rakyat Cina (A.R.C) ataupun dikenali sebagai Chinese Religion ini masih terasa dekat dengan kewujudan alam syurga. Mereka mempercayai bahawa kematian adalah sebuah penghormatan, kenaikan status seseorang. Maka, si hidup harus berbuat bakti pada si mati dengan memberikannya makanan dan sebagainya. Bagi pengamal A.R.C juga, kematian bukanlah bermakna perpisahan, cuma ia adalah peralihan jasad ke alam yang tidak dapat diihat oleh makhluk fizikal. Seperti contoh, sang ibu sangat mengasihi anak-anaknya dan setelah kematian ibu, ia tidak bermakna kasih ibu itu akan terputus. Mereka masih menemani anak-anaknya, cuma bukan dalam fizikal yang boleh dilihat dan disentuh. Antara pesta keraian yang diadakan,adalah sebagai cara mereka berhubung dengan kehidupan langit. Namun, masih ada lagi lorong yang menghubungkan antara dunia fizikal dan dunia roh dan lokasinya adalah di istana maharaja.
Maharaja China adalah seorang yang mendapat mandat dari kerajaan langit. Dan oleh itu, beliau tidak boleh dipandang terus oleh rakyat jelata kerana perbezaan darjat. Bagi maharaja, kepentingan utama adalah rakyat. Oleh kerana raja adalah mandat dari kuasa langit, maka raja harus kekal berperangai baik, pemurah, adil dan yang paling utamanya, mengagungkan kuasa langit. Maharaja mestilah selalu dekat dengan kuasa tersebut dan jika ini semua tidak dipenuhi, maka kepimpinan beliau tidak lagi mendapat restu. Maka, huru-hara akan terjadi sebagai balasan- pemberontakan, kepincangan pentadbiran, malapetaka alam sekitar dan sebagainya.
Berbalik kepada istana, ia adalah merupakan sebuah tempat yang suci. Arakian, penghuni di istana adalah golongan terpilih, cendekiawan dan sebagainya. Kemudian kasta masyarakat Cina pada ketika itu boleh diukur melalui kedudukan mereka dari istana. Makin jauh dari istana, maka semakin rendah kedudukannya dalam masyarakat. Namun, apa yang menariknya, cendekiawan adalah orang yang sangat penting dalam masyarakat Cina dan ini mungkin kunci ketamadunan mereka merentasi zaman. Seperti contoh, Confucios adalah seorang lelaki yang berasal dari ranah perbukitan yang jauh dari istana. Namun, disebabkan kebijaksanaannya, maka dia dibawa tinggal di istana.
Sewaktu masih di bangku sekolah rendah, jam enam petang sahaja pasti saya akan bertapa di hadapan televisyen, semata-mata kerana cerita Cina. Dan banyak juga perkataan-perkataan yang sempat saya pelajari secara tidak langsung. Barangkali kegilaan saya pada filem dan drama Cina ketika itu seperti kegilaan rakan sebaya saya pada drama Korea. Untungnya kisah drama ini sedikit sebanyak memberikan saya gambaran tentang apa yang dipelajari.
Kerana Raja Cina bukanlah raja yang kejam seperti Caesar, bongkak mengaku tuhan seperti Firaun dan meninggikan para ilmuan, kerajaan China sangat utuh bertapak. Dan tidak salah rasanya kalau dikatakan tamadun China adalah sebuah empayar yang meletakkan kuasa Tuhan (mandat dari syurga) sebagai asas dalam mengukuhkan ketamadunan mereka.'Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China', bukanlah semata-semata mahu menunjukkan betapa ilmu itu harus dicari walau sejauh mana, tetapi adanya ketamadunan yang perlu dicontohi manusia dari bangsa negara China.
No comments:
Post a Comment