Friday, 24 October 2014

Memahami Pluralisme: Subjek Penting bagi setiap Daie di Malaysia

Slide for individual presentation- Method of Dakwah ( Di bawah seliaan Dr. Nor Amali)



MUNGKIN ramai orang tidak mengetahui apakah makna yang berselindung di sebalik aksara 'pluralism'. Menurut sebuah kamus, pluralisme membawa makna;
1- A social organization in which diversity of racial or religios or ethnic or cultural groups is tolerated.
2-The doctrine that reality consists of several basic substances or elements.
3-The practice of one person holding more than one benefice at a same time.

Apa yang boleh disimpulkan daripada makna di atas adalah toleransi yang berlaku dalam sesebuah komuniti, walaupun ia dihuni oleh pelbagai jenis agama, etnik, budaya, Dan contoh yang lebih rapat dengan kita adalah Malaysia. Wah, bukankah ini sangat bagus? Bukankah ini akan menjadikan kita sebuah negara yang sangat harmoni? 

Ya, tidak dinafikan negara yang kecil di Asia Tenggara ini mempunyai kepelbagaian agama dan bangsa. Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Pagan dan sebagainya adalah agama yang dianuti oleh masyarakat yang berbilang kaum, antaranya; Melayu, Cina, Kadazan, India, Orang Asli, Minang, Bugis, Dusun dan sebagainya. Namun, kelainan yang ada tidaklah menjadikan kita saling bermusuhan walaupun ada sedikit sebanyak pergolakan dan krisis dalamaan mahupun luaran yang cuba mencantas keharmonian ini,


Berbalik pada isu pluralisme. Dr. Anis Malik Thoha, dalam artikelnya berkaitan pluralisme telah menyebut bahawa pluralisme adalah 'agama baru' yang wujud dalam masyarakat pasca-modernisme pada hari ini. Doktrin ini telah tersebar secara sistematik, dirancang dengan baik di seluruh pelosok dunia, apatah lagi dalam dunia yang hanya bersempadankan imigresen. Selain itu, beliau juga menyifatkan John Hick adalah 'nabi' kepada ajaran tersebut.


Biarpun ia tampak indah pada segi makna zahir, namun jika diaplikasikan dalam kehidupan beragama, ia sebenarnya membawa impak yang sangat buruk kepada agama dan kehidupan. Apa yang dijelaskan oleh John Hick, nyata meletakkan pemahaman bahawa kepelbagaian agama yang muncul pada hari ini adalah hasil manifestasi manusia yang berbeza terhadap Kebenaran yang Satu. Maka, semua agama adalah setara dan tiada yang salah. Manusia bebas memilih jalan yang dirasakan sesuai baginya untuk mengabdikan diri, melakukan penebusan terhadap dosa-dosanya, dan sebagainya. Bagi saya, ini adalah salah satu kesan buruk keterbukaan minda masyarakat pasca-modernisme yang sukar menilai perkara yang benar.



Persoalan di sini adalah, adakah Islam membenarkan konsep sebegini diaplikasikan dalam kehidupan? Menyelusuri sirah Rasulullah s.a.w, baginda telah pun berhadapan dengan situasi sedemikian. Baginda telah diberi pilihan oleh pemuka-pemuka Kafir Quraish berupa tawaran agama secara giliran; penyembahan Allah dan berhala. Namun, baginda s.a.w telah menolak tawaran mereka dengan mengatakan, ((Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.)) 

Jelas bahawa Nabi Muhammad tidak mengamalkan toleransi dalam beragama tetapi baginda cukup bertoleransi dalam kehidupan sosial masyarakat. Baginda menekankan konsep hormat-menghormati, saling menjaga, dan bagaimana baginda merangka Piagam Madinah yang sangat meraikan kepelbagaian agama dan bangsa. Pernah satu ketika, kes zina berlaku di zaman Rasulullah. Mereka dihadapkan ke muka pengadilan. Akan tetapi, Rasulullah meminta mereka mengadili pasangan tersebut melalui cara yang diajarkan oleh kitab suci mereka- pesalah dari golongan Yahudi. 



SEBAGAI seorang daie, haruslah mengetahui konsep agama itu sendiri. Menurut buku Religion and Pluralistic Coexistence, tulisan Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman, beliau telah memberikan gambaran yang jelas mengenai konsep 'pluralism' dan 'pluralistic'. Peta minda di atas; saya telah meringkaskan konsep agama yang dipecahkan kepada dua. Keimanan atau kepercayaan adalah dimensi di mana sesebuah ritual agama, kitab suci, asas pemahaman agama, rukun dan seumpanya adalah hak esklusif sesebuah agama. Ia adalah untuk kegunaan dan diaplikasi oleh penganut agama itu sahaja. Namun, apa yang telah dibentuk pada diri manusia dari dimensi tersebut, akan membantu seseorang itu menjelmakan diri dalam dunia sosial. Seperti contoh, konsep puasa Ramadan dalam Islam; subuh hingga magrib, selama sebulan dan sebagainya telah membentuk muslim agar bersabar, merasai keperitan hidup fakir miskin. Selanjutnya perkara ini akan menjadikan mereka juga lebih prihatin kepada orang yang kesusahan. Secara ringkasnya, apa yang diperolehi dari asas keimanan agama adalah membentuk pribadi yang mempunyai nilai-nilai kemanusiaan, sistem masyarakat yang harmoni dan sebagainya.
  
Percayalah, tiada agama yang menggalakkan penganutnya hidup dalam kucar-kacir, saling menumpahkan darah, menyuruh agar merosakkan diri dan keluaraga bahkan ia berlaku sebaliknya. Toleransi yang sebetulnya berlaku dalam masyarakat berbilang kaum adalah, duduk semeja dan berbincang tentang maslahat dan solusi untuk menyelesaikan masalah sosial masyarakat, saling menolong, dan mempertahankan konsep muhibbah. 
Saya datangkan satu isu yang menjengah laman Facebook, berkenaan perayaan arak Oktoberfest. Seorang Muslim tanpa rasa bersalah mengatakan dia tidak menghalang program tersebut diadakan atas dasar toleransi dalam agama. Sebetulnya, dia memahami dahulu apakah konsep yang dibawa dalam program tersebut bersifat agama ataupun sebaliknya? 


Berdasarkan pemerhatian, adakah festival arak sebahagian daripada ritual atau rukun agama? Tidak bukan? Dan saya percaya, semua orang mengetahui bahawa arak mendatangkan kesan yang negatif kepada peminumnya. Bayangkan pesta yang berlaku secara besar-besaran, mabuk yang tidak dapat dikawal, apakah ia tidak mendatangkan masalah kepada masyarakat? Mereka tidak akan duduk diam, meneguk arak tanpa melakukan perkara lain yang merosakkan akhlak. Maka isu ini adalah berkenaan maslahat sosial, bukan semata-mata kerana haramnya arak bagi Muslim.


 SECARA tuntasnya, pluralisme dalam beragama adalah sebuah jenayah yang mencabuli hak sesebuah agama. Mengamalkan kepelbagaian agama dalam satu masa adalah seolah-olah mncipta agama baru yang mencampuradukkan semua rempah ratus kepercayaan menjadi kari 'agama baru'. Toleransi bukanlah bermakna kita menerima seratus peratus. Ada yang kita mesti mengklasifikasikan sebagai hak utama kita. Dalam isu ini, jadialh seperti air dan minyak; mereka mampu duduk bersama dalam satu bekas, tetapi identiti mereka masih dipelihara daripad bercampur terus antara satu sama lain. Ya, agama kita adalah identiti kita!


No comments:

Post a Comment