Sunday, 19 October 2014

Dakwah dan Facebook


Draf esaimen 'Method of Dakwah'
(Bawah seliaan Dr. Nor Amali)

Dakwah Islamiyah melalui saluran Facebook.
الدعوة السلاميّة عن طريق الفيسبوك

Perjalanan sejarah Islam telah membawakan kita menyaksi bagaimana para anbiya' dan Rasulullah s.a.w sendiri bertungkus lumus dan menggunakan pelbagai pendekatan dalam menyampaikan syiar Islam. Semuanya ini telah dikisahkan dalam kitab al Quran; bagaimana Nuh a.s tanpa jemu menyeru umatnya selama 950 tahun tetapi hanya sebilangan yang kecil sahaja mengikutinya, waima isteri dan anaknya juga tidak mampu membuka hati untuk mendengar ajaran suci yang dibawa oleh baginda; dan tidak disisihkan Ibrahim a.s yang sangat berhati-hati dan lembut sewaktu menuturkan kata-kata seruan kepada ayahnya Azar yang hatinya sekeras batu berhala yang diukirkannya; Musa a.s yang jiwanya tidak gentar kepada 'Tuhan' Firaun yang disanjung kerana yang batil itu tetap batil walaupun yang diseru adalah pemimpin tertinggi; dan bagaimana teguhnya Isa a.s berusaha memperbetulkan persepsi dogma masyarakat dan penyalahgunaan kuasa para rahib yang telah menutup kebenaran dan telusurilah juga kehebatan Rasulullah dalam menyampaikan dakwah Islam hingga tersebar keindahannya ke seluruh pelosok dunia pada hari ini. Ini adalah para Ulul Azmi yang berpendirian hebat dan kuat dalam menegakkan syiar Islam dan tidak dikesampingkan para anbiya' yang diutuskan oleh Allah kepada umat manusia.

Menyeru manusia adalah bukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Apatah lagi untuk perkara yang kita tidak mampu lihat untung dan hasilnya. Fikirkan, apa yang akan kita perolehi jika menyampaikan dakwah kepada orang lain, lebih-lebih lagi dunia pada hari ini amat kuat menyandarkan pada fatwa 'jangan jaga kain orang, kain sendiri yang koyak.' Kita adalah cerminan pada sesama sendiri. Kekuatan sebuah saudara adalah apa yang dicerminkan itu akan muncul dirinya dan diri saudaranya pada masa yang serentak. Maka apabila saudara itu melihat ada sedikit kecacatan pada 'kain' saudaranya, maka tidak salah jika ditegur. Dan yang ditegur, mestilah berlapang dada dalam menerima teguran, bukannya dengan cara mencari mana rabiknya kain saudara kita, atau sengaja mengoyaknya. Jika kainnya hanya terkoyak sedikit, jahitkan sahaja dengan benang-benang peringatan yang halus dan kuat, dan jika koyaknya sedikit besar, tampalkan dengan kain kesedaran dan dijahit dengan benang yang kukuh. Namun, jika koyaknya terlalu besar, ada baiknya kita menghulurkan pertolongan menukarkan kain baharu sahaja yang lebih molek. 

Berbalik kepada tajuk, dakwah melalui medium Facebook; ia merupakan jalan yang betul untuk membaiki lubang-lubang dan koyak kain masyarakat yang semakin lama semakin membesar pada hari ini. Namun, apa yang lebih menghairankan, mereka adakalanya sengaja mengoyakkan kain sendiri dan bangga untuk perkara itu. Nah, maka disitulah juga fungsi dakwah mengambil tempat. Lakukan aktiviti mencegah yang mungkar dengan tiga cara yang diajarkan Rasulullah- melalui tangan (kuasa), lisan (kata-kata yang berhikmah) dan hati (membenci kemungkaran dan ia adalah selemah-lemah iman kita). Namun apa yang merumitkan keadaan, kita pada hari ini langsung tidak merasa apa-apa dengan kemungkaran. Maka, dimanakah hati kita sebenarnya?

Lapangan Facebook sebenarnya adalah medan pertempuran bebas yang disertai oleh pelbagai unit askar dari batalion ideologi, kemungkaran, dan sebagainya. Mereka bebas merekruit seramai mana ahli yang akan bernaung di bawah mereka. Namun, persoalannya yang muncul; adakah wujud para soldadu mejahidin mempertahankan kekufuran meresap masuk  ke dalam jiwa dan minda manusia? Antibiotik iman pasti akan merundum jika tiada yang mengusir keluar anasir-anasir yang tidak sihat keluar dari fakulti rohani kita.

Berhentilah dari menulis perkara sia-sia yang tidak mendatangkan faedah kepada pembaca seperti meluahkan perasaan pada isu yang remeh temeh, perbualan antara suami dan isteri dan sebagainya. Diringkaskan, usah jadikan Facebook sebagai diari emosi, tapi jadikan sebagai wadah untuk berkongsi ilmu, pandangan dan cadangan yang membina. Sampaikan kepada umum tentang perkara yang benar, tidak menjatuhkan aib seseorang dan juga elakkan dari membuat spekulasi dan pengadilan yang tidak berasas. Saya tidak menafikan keupayaan teknologi hari ini mencapai telunjuk dan mata manusia dengan begitu pantas namun dakwah menjadi semakin terbatas. Sepatutnya dengan aliran trafik yang tiada sempadan ini menjadikan kita lebih hebat dari nenek moyang kita yang telah berjaya melitupi sebahagian besar dunia dengan Nur Islam dengan mengambil masa yang lama untuk akses ke sesebuah kawasan. 

Dakwah adalah perkara yang sangat terbuka dan dakwah Islam adalah untuk semua manusia termasuklah kepada Muslim itu sendiri, meliputi semua peringkat umur. Dakwah di media sosial terutamanya Facebook dapat dilakukan dari tiap sudut- penyampaian kata-kata yang baik seperti menyitir firman Allah, hadis nabi, kisah motivasi; mewujudkan kumpulan perbincangan tentang kehidupan, agama, pelajaran,  dan sebagainya; dan juga mewujudkan kempen kesedaran dan bantahan terhadap perkara yang mungkar. Kongsilah perkara yang memberikan kesedaran dan amalan secara terang-terangan. Ini adalah hak kita untuk menyahut seruan Nabi Muhammad s.a.w, "...sampaikan daripadaku walau satu ayat!"

No comments:

Post a Comment